KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL
Mengikut konteks Malaysia, Model Ekonomi Baru (MEB) dan RMK-10 mengenal pasti kepentingan perkembangan pemfrancaisan berasaskan perkhidmatan untuk masyarakat berpendapatan tinggi. Pelaksanaan inisiatif MEB dan RMK-10, yang memberikan tumpuan kepada perniagaan berasaskan perkhidmatan dan mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi, berpotensi mewujudkan peluang francais di Malaysia. Berikutan trend yang dilihat di atas, MEB mempunyai matlamat untuk beralih daripada pembangunan sektor ‘tradisional’ dan telah memberikan penekanan kepada beberapa sektor untuk peralihan seperti teknologi hijau, pelancongan perubatan dan subsektor berorientasikan perkhidmatan yang lain.
Bidang perniagaan yang dibangunkan secara francais menjadi antara bidang perniagaan yang paling berkembang maju di Negara ini. Perkembangan positif ini merupakan petanda baik dan secara lansung memberi sumbangan yang besar kepada masa depan pertumbuhan ekonomi negara. Perkembangan perniagaan francais memberi pelbagai manfaat kepada sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi. Berikut adalah antara sumbangan perniagaan francais kepada ekonomi sesebuah negara:
- Merangsang pertubuhan ekonomi menerusi peningkatan aktiviti keusahawanan.
- Membantu dalam pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baharu dalam pembangunan ekonomi.
- Menggalakkan perdagangan antarabangsa menerusi pakej pelantikan francaisi induk oleh francaisor tempatan, sekali gus menyumbang ke arah pemantapan pertukaran mata wang negara.
- Menyediakan peluang perniagaan kerana perniagaan kecil milik francaisi sangat mudah dan cepat menyumbang kepada pengambilan tenaga kerja.
Industri francais Malaysia telah berkembang pesat hasil dorongan penggunaan domestik. Pada tahun ini, industri francais telah menyumbang sebanyak RM23.6 bilion kepada pendapatan kasar negara. Malah, industri ini bernilai melebihi RM20 bilion setahun dan masih terus berkembang. Sejak empat tahun yang lalu, ia telah meningkat pada kadar yang tetap, iaitu di antara 10 hingga 15% setahun walaupun dilanda krisis kewangan global sejak tahun 2008. Industri francais dijangka menyumbang sebanyak 2.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini. Ini telah menunjukkan peningkatan kecil berbanding sumbangan pada tahun lalu, iaitu 2.5% atau pun RM21.48 bilion kepada KDNK. Sektor ini telah memberi perkembangan yang baik sejak empat tahun lalu setelah kerajaan memudahkan polisi perniagaan, pelaksanaan yang teliti begitu juga strategi yang kukuh untuk memperkembangkan
Sumbangan terbesar adalah dari sektor makanan dan minuman, iaitu sebanyak 34% daripada sistem pendaftaran francais secara menyeluruh. Ia diikuti segmen pakaian dan aksesori sebanyak 12%, perkhidmatan dan pendidikan yang masing-masing sebanyak 11% serta kecantikan dan kesihatan pada 10%.Segmen seperti penjagaan kanak-kanak dan kesihatan mempunyai potensi di dalam pasaran francais, memandangkan masyarakat kini lebih sedar tentang keperluan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah memperkenalkan Skim Pinjaman Mikro pada Julai tahun lalu dengan tujuan untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan, terutama sekali untuk golongan berpendapatan rendah, belia dan juga sesiapa sahaja yang berminat. Kerajaan telah mengenal pasti faedah yang dibawa oleh francais, lalu memperkenalkan skim kredit serta insentif cukai bagi meningkatkan industri ini. Pembentukan Pelan Rangka Perkembangan Francais Negara merupakan salah satu inisiatif untuk mempertingkatkan industri ini dengan lebih jauh. Pelan yang meliputi tempoh selama 10 tahun sehingga tahun 2020 ini telah membentuk haluan industri ini agar ia sejajar dengan agenda ekonomi negara.
Selain menjamin perkembangan industri francais pada kadar optimum, ia juga menyemai pakar-pakar modal insan bagi sektor francais. Pelan rangka ini juga mengandungi rancangan untuk mengubah perniagaan melalui francais, mempertingkatkan daya saingan francais di Malaysia serta menubuhkan eko-sistem francais yang dinamik. Untuk jangka masa panjang, pelan rangka ini turut dilengkapi dengan ramalan prestasi industri francais. Ia mensasarkan agar industri ini mencapai 4.3% dan 9.4% KDNK menjelang 2016 dan 2020. Sehingga kini, terdapat 603 jenama francais di Malaysia, dan 6,000 francaisi di seluruh negara.
Jika dilihat dari sudut ekonomi, situasi ini akan membantu merangsang lagi pertumbuhan perniagaan dengan mewujudkan usahawan-usahawan tempatan yang akan menawarkan produk yang berjenama. Melalui sistem francais juga satu transformasi kepakaran, teknologi dan idea-idea baharu akan diperoleh oleh usahawan yang akan membantu pertumbuhan ekonomi setempat. Selain itu, senario ini akan menggalakkan perdagangan antarabangsa sekali gus menyumbang kepada pertukaran mata wang negara di samping membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sistem francais boleh menjadi satu aplikasi dalam projek penswastaan dengan melibatkan lebih ramai usahawan mengendalikan projek atau perniagaan berdasarkan sistem yang sama. Projek Rangkaian Hotel Seri Malaysia ialah satu contoh yang berjaya dalam kategori ini. Selain itu, sistem perniagaan francais juga memberi kebaikan kepada pengguna dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Melalui sistem francais, pengguna dapat menikmati kemudahan produk atau servis yang ditawarkan melalui rangkaian perniagaan yang besar dengan persekitaran yang konduktif. Di samping itu juga, pengguna akan memperoleh perkhidmatan dan kemudahan perniagaan yang moden mengikut peredaran masa.
No comments:
Post a Comment