Masa Hadapan


MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Transformasi yang dijalankan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sedikit sebanyak telah mempertingkatkan daya saing industri francais di negara ini. Antara inisiatif yang dijalankan oleh PNS adalah seperti pembinaan jenama francais tempatan, bengkel-bengkel, ekspo dalam dan luar negara serta pembangunan akademi. Inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan di samping meningkatkan saingan industri francais tatkala kita berhadapan dengan saingan global. Di samping itu, kerajaan telah menetapkan satu agensi khusus bagi membantu usahawan francais dari segi pembiayaan perniagaan. Dengan penubuhan PNS, ia merupakan satu bukti yang kukuh malah menunjukkan komitmen kerajaan terhadap industri francais. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional pada 10 Januari 2012. Pelan induk tersebut merupakan inisiatif dan strategi yang bertujuan untuk merancakkan lagi usaha kerajaan dalam memperkasakan francais nasional.

Seterusnya, kerajaan berharap untuk menjadikan Malaysia pusat francais bagi pasaran Asia Tenggara menjelang tahun 2020. Industri francais sedikit sebanyak telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM24.6 bilion dan dijangka terus meningkat dengan kerjasama daripada kementerian, PNS dan Persatuan Francais Malaysia (MFA). Dengan pencapaian industri francais setakat ini, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Secara tidak langsung, ia dapat membangunkan modal insan malah mempertingkatkan perniagaan francais tempatan. Didapati juga masyarakat kini semakin celik mengenai perniagaan francais disebabkan program dan pendedahan yang dijalankan oleh kementerian.

Kerajaan telah mengenal pasti faedah yang dibawa oleh francais, lalu memperkenalkan skim kredit serta insentif cukai bagi meningkatkan industri ini. Pembentukan Pelan Rangka Perkembangan Francais Negara merupakan salah satu inisiatif untuk mempertingkatkan industri ini dengan lebih jauh. Pelan yang meliputi tempoh selama 10 tahun sehingga tahun 2020 ini telah membentuk haluan industri ini agar ia sejajar dengan agenda ekonomi negara. Selain menjamin perkembangan industri francais pada kadar optimum, ia juga menyemai pakar-pakar modal insan bagi sektor francais. Pelan rangka ini juga mengandungi rancangan untuk mengubah perniagaan melalui francais, mempertingkatkan daya saingan francais di Malaysia serta menubuhkan eko-sistem francais yang dinamik.

No comments:

Post a Comment