Tahap Pembangunan


TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Menyingkap kembali tirai industri francais lebih 20 tahun yang lalu. Industri ini yang mempunyai potensi yang cukup besar ini kurang diberikan perhatian. Malah dianggap sebagai satu sektor yang asing berbanding sektor lain. Pengguna ketika itu lebih mengenali produk francais luar negara seperti BATA, SINGER, KFC, McDonald’s dan banyak lagi. Hasilnya aliran tunai di dalam negara mengalir keluar melalui yuran francais serta bayaran royalti setiap tahun kepada francaisor asing. Syarikat-syarikat ini mendapat keuntungan berganda kerana berjaya mengembangkan rangkaian perniagaan mereka di pelosok dunia melalui perniagaan francais. Tidak hairanlah, jenama-jenama tempatan digalakkan untuk mencontohi langkah-langkah yang diambil oleh jenama-jenama ini untuk mengembangkan sayap mereka, tetapi ia bukan suatu proses yang mudah dan pakar-pakar bersetuju bahawa pengembangan agresif perlu ditangani secara berhati-hati.

Industri francais Malaysia menunjukkan tahap pembangunan yang positif dan memberangsangkan serta mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa meskipun industri ini adalah sebuah perniagaan yang mencabar. Beberapa francais tempatan telah berjaya mengembangkan jenama mereka ke luar negara, contohnya, Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe. Sehingga berakhir tahun 2015, sebanyak 760 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,525 perniagaan francaisi telah berjaya diwujudkan. Pada Tahun 2014, sumbangan industri francais kepada keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) Malaysia adalah berjumlah RM26.15 bilion atau bersamaan 2.5 peratus daripada KDNK Negara.

Penerimaan jenama francais Malaysia di luar Negara juga semakin meningkat iaitu sebanyak 61 jenama francais tempatan diwujudkan dan telah menerokai 56 buah Negara dan mempunyai 2,453 outlet di seluruh dunia. Jumlah itu lebih tinggi berbanding pada tahun 2008 di mana hanya 29 francaisor yang menerokai 31 buah Negara dengan jumlah 174 outlet. Ini membuktikan bahawa pembangunan industri francais di Malaysia sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang melalui sistem francais. Pelbagai inisiatif juga telah diperkenalkan bagi menubuhkan infrastruktur sokongan untuk merancang, melaksana, membangun dan mengawal selia pembangunan francais serta memberikan bantuan dan kemudahan pembiayaan.

Pembangunan industri francais di Malaysia sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang melalui sistem francais. Pelbagai inisiatif juga telah diperkenalkan bagi menubuhkan infrastruktur sokongan untuk merancang, melaksana, membangun dan mengawal selia pembangunan francais serta memberikan bantuan dan kemudahan pembiayaan. Produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia adalah sebuah negara Islam. Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara. usahawan francais tempatan perlu berani keluar dari pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih baik apabila berjaya berada dalam pasaran antarabangsa. Kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara.Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment